Men In Black Smiley

Selasa, 16 Ogos 2011

Kemuliaan Bulan Ramadhan

Pengunjung

Ramadhan adalah bulan ke-9 daripada bulan-bulan hijriah. Banyak hadis yang
menceritakan bahawa Rasulullah SAW terlalu mengambil berat dan bersungguh-sungguh
melakukan amalan-amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti
memperbanyakkan solat malam, berzikir, membaca al-Quran, bersedekah dan lain-lain di
bulan ini. Perkara tersebut dilakukan Rasulullah SAW kerana kelebihan dan
keistimewaan yang terdapat di bulan ini.
Ramadhan ialah bulan yang disifatkan Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh
Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA, sabda Baginda: “Apabila tibanya Ramadhan,
maka akan dibuka pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan dirantai Syaitansyaitan.”
Ramadhan seperti yang disifatkan lagi: “Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan
dan bulan yang mana padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Allah SWT mewajibkan ibadah puasa padanya dan bangun di malam harinya dihitung
sebagai amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Barangsiapa yang
mengerjakan satu amalan kebajikan (sunat) ketika Ramadhan, maka dia dianggap
mengerjakan amalan wajib (fardu) ketika selain Ramadhan dan barangsiapa yang
mengerjakan amalan wajib ketika Ramadhan maka dia dianggap mengerjakan tujuh
puluh amalan wajib ketika selain Ramadhan. Ianya bulan kesabaran dan tiadalah ganjaran
kesabaran itu melainkan Syurga Allah SWT. Ianya bulan yang mendatangkan
kesenangan dan kebahagiaan. Ramadhan menambah rezeki para mukmin. Sesiapa yang
berpuasa, maka ganjarannya ialah keampunan ke atas dosa-dosanya dan kelepasan dari
api Neraka.” (Sahih Ibn Khazimah, kelebihan bulan dan puasa Ramadhan)
SEJARAH DI BULAN RAMADHAN
Diantara peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku di bulan Ramadhan ialah turunnya
al-Quran pada 17 Ramadhan. Berlakunya Perang Badar al-Kubra iaitu peperangan
pertama di dalam sejarah Islam dan pembukaan dan penaklukan kota Makkah al-
Mukarramah oleh umat Islam.
MENJAGA TINGKAH LAKU DI BULAN RAMADHAN
Perlu diingatkan bahawa dalam kita berpuasa banyak perkara yang perlu dijaga.
Sekiranya tidak, maka sia-sialah lapar dan dahaga kita. Diantaranya seperti yang
diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:
“Apabila pada hari seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengucapkan kata-kata
kotor dan jangan pula bertengkar atau berbalah. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang
atau dimusuhi maka hendaklah ia berkata: Sesungguhnya saya berpuasa.”
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:
“Barang siapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak pula meninggalkan
kelakuan yang didasari kata-kata dusta maka tiada gunanya baginya di sisi Allah SWT
dalam ia meninggalkan makan dan minumnya”
PUASA DI BULAN RAMADHAN
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW
bahawa Allah SWT berfirman: “Setiap amalan anak adam adalah untuknya (mereka
mengetahui gajarannya) kecuali puasa. Sesungguhnya Aku sendiri yang akan terus
memberi dan menggandakan ganjarannya.”
Hadis Qudsi di atas menerangkan bahawa ganjaran puasa Ramadhan adalah berbeza
ganjarannya daripada amalan dan ibadah yang lain. Sepertimana yang diketahui bahawa
setiap amalan dan ibadah lain akan digandakan Allah SWT pahalanya berdasarkan niat
dan lain-lain bermula dari sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda. Akan tetapi
gandaan pada ganjaran ibadah puasa melibihi dari itu dan tidak terbatas. Ini kerana puasa
itu dilakukan dengan kesabaran dan Allah SWT ada berfirman di dalam al-Zumar ayat 10
yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan
disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira."
Kesabaran mengikut para ulama ada tiga; Pertama sabar kerana taatkan Allah SWT,
kedua sabar kerana menjauhi segala larangan Allah SWT, dan ketiga sabar kerana
ketentuan Allah SWT yang meyakitkan dan sukar ditanggung. Kesemua ini terdapat
ketika melakukan ibadah puasa. Puasa padanya ada kesabaran kerana taatkan Allah SWT,
sabar menjauhi segala larangan Allah SWT dengan mengekang dan mengawal hawa
nafsu dan syahwat, dan sabar kerana ketentuan Allah SWT yang meyakitkan dan sukar
ditanggung seperti kelaparan, dahaga, lemahnya badan dan seumpamanya.
BERBUKA DI AWAL WAKTU DAN BERSAHUR DI AKHIR WAKTU
Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada henti-hentinya manusia itu memperolehi kebaikan
selamamana mereka suka menyegerakan untuk berbuka.” Diriwayatkan oleh Imam al-
Bukhari daripada Zaid bin Thabit RA, katanya: “Kami bersahur bersama Rasulullah
SAW kemudian kami berdiri mendirikan solah subuh. Ditanyakan kepadanya: Berapa
jarak waktu antara sahur dan solat subuh itu? Beliau menjawab: Lebih kurang bacaan
lima puluh ayat.”
AL-QURAN AL-KARIM
Bulan Ramadan padanya diturunkan al-Quran. Al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian
manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan
menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah (al-Baqarah: 185).
Rasulullah SAW seperti yang disebutkan hadis bersama Jibril AS akan bertadarus al-
Quran setiap malam Ramadhan. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas
RA, katanya yang bermaksud: “Rasulullah SAW itu adalah manusia yang paling
pemurah dan lebih-lebih lagi pemurahnya pada bulan Ramadhan setelah ditemui Jibril
AS. Jibril AS akan menemui Rasulullah SAW pada setiap malam Ramadhan dan
bertadarus al-Quran bersamanya. Rasulullah SAW setelah ditemui oleh Jibril AS
bertambah sifat pemurahnya melebihi tiupan angin.”
IBADAT DI SEPULUH TERAKHIR RAMADHAN
Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah RA, katanya: “Rasulullah S.A.W
apabila telah masuk sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan maka Rasulullah SAW
menghidupkan malamnya dengan memperbanyakkan amalan ibadatnya, juga
membangunkan isterinya serta mengeraskan ikatan pinggangnya (menjauhi isteri
seketika kerana beribadah).” Wallahualam.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 ulasan:

Catat Ulasan