Men In Black Smiley

Selasa, 16 Ogos 2011

Kenali Imam Nawawi

Pengunjung
Beliau adalah Abu Zakariya Yahya bin Syaraf bin Murri bin Hasan Al-Hizami An-Nawawi Ad-Dimasyqi. Beliau dilahirkan di Kampung Nawa dalam wilayah Hauran pada pertengahan Muharram tahun 631H. Kunyah beliau adalah “Abu Zakaria”. Laqab atau gelaran beliau pula adalah “ Muhyuddin” yang bererti penghidup agama. Namun beliau tidak suka digelar sedemikian kerana sifat tawadhuknya. Al Lakhamiyy berkata: Telah sahih bahawa beilau berkata: Aku tidak halalkan sesiapa yang menggelar aku “ Muhyuddin”.
Ketika beliau masih kecil ramai orang saleh telah melihatnya memiliki kepandaian dan kecerdasan. Mereka menemui ayahnya dan memintanya agar memberi perhatian kepadanya. Ayahnya menggalak Imam An Nawawi menghafaz Al-Quran dan pelbagai ilmu. Imam An-Nawawi telah menghafaz Al Quran ketika hampir baligh. Ketika berumur 9 tahun, ayahnya membawanya ke Damsyiq untuk menuntut ilmu. Beliau tinggal dan belajar di Madrasah Ar-Rawahiyah pada tahun 649H. Beliau menghafal kitab At-Tanbiih dalam tempoh empat setengah bulan dan belajar Al-Muhadzdzab karangan Asy-Syirazi dalam tempoh lapan bulan pada tahun yang sama. Ini semua di bawah bimbingan gurunya Al-Kamal Ishaq bin Ahmad bin Uthman Al-Maghribi Al-Maqdasi. Beliau adalah guru pertamanya dalam ilmu fiqh.
Pada tahun 651 beliau telah menunaikan haji bersama ayahnya. Dalam perjalanan beliau telah ditimpa demam yang kuat. Demam itu tidak sembuh hinggalah pada hari wuquf di Arafah. Beliau telah menghadapinya dengan penuh kesabaran sehinggalah pulang semula ke Damsyik.Imam Nawawi tekun menuntut ilmu-ilmu agama, mengarang, menyebarkan ilmu, beribadah, berzikir, sabar menjalani hidup yang amat sederhana dan berpakaian tanpa berlebihan.
Guru-guru Imam Nawawi
Guru-guru beliau yang terkenal adalah Abdul Aziz bin Muhammad Al-Ashari, Zainuddin bin Abdud Daim, Imaduddin bin Abdul Karim Al-Harastani, Zainuddin Abul Baqa Khalid bin Yusuf Al-Maqdisi An-Nabausi dan Jamaluddin Ibn Ash-Shairafi, Taqiyyuddin bin Abul Yusri, Syamsuddin bin Abu Umar.
Beliau belajar fiqhul hadits daripada Asy-Syeikh Al-Muhaqqiq Abu Ishaq Ibrahim bin Isa Al-Muradi Al-Andalusi. Kemudian belajar fiqh kepada Al-Kamal Ishaq bin Ahmad bin Uthman Al-Maghribi Al-Maqdisi, Syamsuddin Abdul Rahman bin Nuh dan Izzuddin Al-Arbili serta guru-guru yang lain.
Murid-Murid Imam Nawawi
Ramai ulama telah berguru dengan Iman Nawawi. Di antara mereka ialah Al-Katib Shadrudin Sulaiman Al-Ja’fari, Syihabuddin Al-Arbadi, Shihabuddin bin Ja’waan, ‘Alaudin Al-Athaar dan yang meriwayatkan hadith darinya Ibnu Abil Fath, Al-Mazi dan lainnya.
Beliau adalah seorang yang alim dalam ilmu-ilmu Fiqh dan Usuluddin. Beliau telah mencapai puncak pengetahuan dalam mazhab Imam Asy Syafi’i r.a dan imam-imam lainnya. Beliau telah mengetuai Daarul Hadits Al-Asyrafiyyah dan mengajar di sana tanpa mengambil bayaran sedikitpun.
Imam Nawawi memiliki umur yang amat singkat iaitu tidak lebih dari 45 tahun, tapi penuh dengan kebaikan dan keberkatan dari Allah SWT.
Keperibadian Dan Akhlak Imam Nawawi
Imam Nawawi mempunyai penguasaan ilmu yang luas, ketekunan yang mengagumkan, sentiasa hidup warak, zuhud dan sabar dalam kesederhanaan hidupnya. Pada waktu yang sama, beliau juga dikenali mempunyai kesungguhannya yang luar-biasa dan berbagai kebaikan lainnya. Beliau menjalani kehidupan hanya dari waqaf yang diberikan kepada Madrasah Ar-Rawahiyah yang dipimpinnya dan dari apa yang diwarisi dari ibu bapanya.
Beliau banyak memanfaatkan waktu malam untuk beribadah dan menulis kitab-kitab agama dan tidak lupa menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Sebagai seorang penegak kebenaran, beliau dengan gagah berani menghadapi kezaliman para penguasa dengan nasihat-nasihat yang bestari dan mengingkari mereka atas pelanggaran yang mereka lakukan sebagai seorang penguasa. Sebagai contohnya beliau pernah menolak untuk memperakukan fatwa yang menindas rakyat yang dipaksakan oleh Sultan Al-Zahir Bibris, sehingga beliau di halau keluar dari Damsyik dan tidak pulang sehinggalah raja tersebut meninggal dunia.
Pusaka Tinggalan Imam Nawawi
Al Imam An Nawawi telah mewariskan kepada umat Islam karya-karya yang tidak ternilai, di antaranya: Syarah Muslim, Al-Irsyad dan At-Taqrib di dalam ulum hadith, Tahdzibul Asmaa’wal Lughaat, Al-Manaasik Ah-Shughra dan Al-Manaasik Al-Kubra, Minhajut Taalibin, Bustaanul ‘Arifiin, Khulaasatul Ahkaam fi Muhimmatis Sunan wa Qawaa’idil Islam, Al Majmu` Syarh al Muhazzab, Raudhatut Taalibiin, Hulyatul Abrar wa Syi’aarul Akhyaar fii Talkhiishid Da’awaat wal Adzkaar yang lebih dikenal dengan nama Al-Adzkaar lin Nawawi dan At-Tibyaan fii Aadaabi Hamalatil Quran iaitu kitab kita ini.
Kewafatan Imam Nawawi
Imam Nawawi rahimaullah wafat pada malam Rabu 24 Rajab tahun 676H dan dimakamkan di Nawa. Maqam beliau sangat terkenal dan selalu diziarahi orang yang mengagumi perjuangannya dalam menegakkan agama Islam.
Dipetik dari Terjemahan kitab At-Tibyan
Oleh Al-Fadhil Ustaz Rosli Bin Othman Al-Balfasi
Ahli Majlis Fatwa Jabatan Mufti Negeri P.Pinang
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 ulasan:

Catat Ulasan